hostinger free

Panduan Untuk Makan Dengan Sempurna Semasa Rawatan Kemoterapi

pemakanan pesakit kanser
Pemakanan yang berkhasiat diperlukan untuk kesihatan, terutama sekali jika anda sakit. Semasa sakit, anda perlu memakan makanan yang berkhasiat yang boleh memberi tenaga, membaiki tisu, dan membantu mengekalkan sistem ketahanan tubuh supaya sentiasa kuat.

Apabila anda sakit atau menjalani rawatan, anda mungkin tidak berselera untuk makan seperti biasa. Anda mungkin mengalami beberapa masalah seperti berikut yang boleh menyebabkan anda susah hendak makan: loya, muntah-muntah dan cirit-birit, sakit atau kering mulut, susah dan atau sakit apabila hendak menelan. Murung, stres dan bimbang  juga boleh menyebabkan hilang selera makan.  Untuk itu berikut adalah panduan yang boleh kita ikuti bersama:

1. Makan sedikit-sedikit secara kerap, dan ikut waktu (contohnya 2 jam sekali) daripada  makan tiga kali sehari dengan banyak.

2. Gunakan sebaik-baiknya masa untuk makan apabila ada selera.

3. Makan snek antara waktu makan adalah baik; sentiasa sediakan snek untuk dimakan.  Rancanglah apa yang anda hendak makan lebih awal.

4. Sediakan makanan yang baunya membuka selera anda.  Jika anda tidak tahan dengan
bau makanan yang sedang dimasak, jauhkan diri anda daripada dapur atau tutup  pintu untuk mengelakkan bau masakan itu. Saudara atau kawan anda boleh menolong  memasak makanan untuk anda.

5. Makanan biarlah nampak menarik dengan ada warna dan hiasan.

6. Jadikan waktu makan anda itu menarik dengan makan bersama-sama keluarga dan kawan. Elakkan bercakap tentang rawatan anda ketika sedang makan.

7. Jika anda tidak suka makan daging, makanlah makanan yang banyak mengandungi  protein yang lain seperti ayam, ikan, telur, tauhu, legum atau kacang.

8. Jika anda dapati berat badan anda berkurang dengan tidak disengajakan, cuba tambah  nilai zat makanan dalam makanan anda dengan mengguna makanan tenusu penuh  lemak, sos berkrim, menambah lebih banyak minyak atau marjerin, menambah keju  parut atau telur ke dalam makanan jika sesuai.

9. Jika anda tidak berselera makan makanan yang pejal, cuba minum minuman yang  berkhasiat. Susu, minuman yang mengandungi susu, jus dan sup boleh membekalkan  tenaga dan zat makanan.

10. Jika anda masih tidak berselera, makanlah zat tambahan yang disediakan secara komersial.  Pegawai pemakanan atau ahli farmasi boleh membantu anda memilih makanan yang bersesuaian.


+ sumber artikel KanWork