hostinger free

Menangani Lesu DIsebabkan Oleh Rawatan Kanser

lesu disebabkan rawatan kanser
Apakah lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser?  Lesu merupakan kesan sampingan rawatan kanser yang paling lazim dialami oleh pesakit.   Lesu disebabkan rawatan kanser berbeza daripada rasa letih yang dialami setiap hari. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba. Tidak seperti rasa letih yang biasa, ia tidak semestinya disebabkan oleh melakukan senaman atau aktiviti harian yang lama. Biasanya rehat tidak dapat melegakan lesu.  Lesu boleh menyusahkan dan mengganggu kehidupan anda.

Bagaimanakah rasanya?  Setiap orang mempunyai simptom yang berlainan. Orang yang mengalami lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser menyatakan berasa lemah, penat, mengantuk, keliru atau tidak sabar. Ada orang yang berasa tidak boleh bergerak. Ada pula yang berasa tangan dan kakinya lemah atau sakit dan rasa tidak puas bernafas, meskipun selepas membuat aktiviti yang ringan.  Bagi kebanyakan orang lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser amat berbeza daripada apa jua lesu yang pernah mereka alami.

Bagaimanakah ia boleh menjejaskan anda?

• Lesu boleh menjejaskan fikiran dan perasaan anda.

• Anda mungkin perlu banyak tidur.

• Tubuh anda mungkin berasa letih, emosi dan/atau fikiran juga berasa letih.

• Tubuh anda, terutamanya kaki dan tangan anda mungkin berasa berat.

• Anda mungkin tidak berapa ingin hendak melakukan aktiviti biasa, seperti makan atau membeli-belah.

• Anda mungkin berasa sukar untuk memberi tumpuan atau berfikir dengan jelas.

Apakah yang menyebabkannya?  Lesu ini boleh disebabkan oleh beberapa masalah. Kemoterapi biasanya akan menyebabkan kurang darah atau anaemia. Ini bermakna hanya sedikit sel darah merah sahaja yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh anda. Radioterapi dan kehilangan darah semasa pembedahan juga boleh menyebabkan anaemia.

Perkara lain yang berkaitan dengan penyakit anda juga boleh menyebabkan anda berasa letih: tidur tidak lena, stres, murung, mengalami infeksi, sesetengah ubat, tidak bersenam, dan tidak makan dengan sempurna. Sesetengah perkara yang menyebabkan lesu ini boleh dirawat, oleh itu anda perlu berbincang dengan doktor.

Bagaimanakah orang menanganinya?   Jika anda berasa lesu, akuilah hakikat ini dan beritahu terus terang kepada orang lain. Tanya doktor jika ada rawatan yang boleh membantu anda.

Cuba idea ini:

• Tetapkan apa yang hendak dibuat kecil-kecilan dahulu dan yang terdaya dilakukan.

• Apabila anda merancang apa yang hendak dibuat setiap hari, jangan lupa tentang waktu rehat. Catatkan apa yang anda rasa. Contohnya, jika anda berasa letih pada waktu pagi, rancanglah untuk berehat pada waktu tersebut.

• Tidur atau berehat sekejap-sekejap beberapa kali daripada berbuat sedemikian dalam masa yang lama.

• Jangan buat kerja lebih daripada yang terdaya. Berhenti sebelum anda berasa letih.

• Makanlah sebaik mungkin dan minum banyak cecair. Ada orang mendapati memakan banyak buah-buahan dan sayuran serta makanan jenis bijirin (seperti nasi, mi, dll.) membuatkan mereka berasa lebih bertenaga. Yang lain pula berasa seperti itu apabila memakan lebih banyak daging. Pakar pemakanan dapat membantu jika anda hendak menukar memakan makanan lain yang tidak lazim dimakan.

• Merokok boleh mengurangkan tenaga. Jika anda merokok, berbincanglah dengan doktor tentang cara hendak berhenti merokok.

• Bersenamlah setakat yang anda terdaya. Senaman boleh membuatkan anda kuat dan berasa bertambah sihat. Jika anda tidak pernah bersenam, anda boleh mulakan dengan berjalan perlahan-lahan, mula-mula selama lima hingga sepuluh minit dan beransur-ansur menambahkan masa setakat yang anda terdaya. Anda juga boleh cuba lakukan senaman ringan yang lain.

• Jika anda memang biasa melakukan senaman yang berat, cuba lakukan senaman yang lebih mudah dan pendek masanya yang anda suka. Contohnya, jika dahulu anda suka berlari, sekarang cuba yoga atau tai ci.

• Cuba lakukan perkara yang membuat anda riang. Keriangan ketika ketawa bersama kawan-kawan atau bermain dengan haiwan kesayangan anda boleh menceriakan anda.

• Mendengar muzik, membaca dan bertafakur tidak memenatkan badan sebaliknya boleh membuat anda berasa relaks.

• Buat apa yang anda perlu dan mahu buat. Jika ada orang sekeliling anda yang boleh dan mahu membantu anda, biarlah mereka buat sesetengah kerja yang lazim anda buat.

• Jika perlu hadkan bilangan orang yang datang melawat anda.

• Elakkan stres: teknik untuk relaks dan bersenam boleh membantu mengurangkan stres yang tidak dapat dielakkan.
+ Sumber artikel:Kanwork