hostinger free

Komunikasi

komunikasi pesakit kanser payudara
Meluahkan perasaan anda tentang keadaan anda mungkin dapat membantu semasa anda beransur pulih. Apabila anda telah bersedia, meluahkan perasaan anda kepada orang lain akan memberi peluang untuk anda mengetahui fikiran dan perasaan mereka tentang keadaan anda.

Ada dua aspek komunikasi: keupayaa anda berkomunikasi dengan keluarga dan rakan anda dan juga dengan orang lain; serta keupayaan mereka untuk berkomunikasi dengan anda.

Pada mulanya sesetengah orang mungkin tidak berupaya berbincang dengan anda tentang penyakit anda. Yang lain mungkin ingin berbincang dengan anda tetapi tidak tahu apa yang harus dikatakan. Ada juga yang mungkin mereka tidak peka terhadap keadaan anda. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak harus menghindarkan anda daripada mendapat bantuan orang yang berpengetahuan tentang isu ini.

Ingatlah bahawa anda boleh mendapat sokongan yang diperlukan daripada bukan ahli keluarga, atau rakan ataupun orang yang tiada hubungan dengan anda sekarang.

Berkomunikasi dengan Pasukan Perawat Anda.

Diagnosis dan rawatan payudara anda mungkin adalah pengalaman perubatan besar yang pertama dalam hidup anda. Perubahan yang anda alami mungkin dirasakan berlaku dalam sekelip mata. Anda perlu menyesuaikan diri dengan pejabat dokotor, hospital, dan kaedah diagnosis. Komunikasi yang anda lakukan dengan pasukan penjagaan kesihatan anda adalah penting untuk mengurangkan rasa cemas dan takut.

Apakah yang anda harapkan daripada doktor, jururrawat dan ahli teknologi anda? Kebanyakan doktor yang ditemuduga untuk mendapatkan pendapat  besetuju bahawa peranan mereka antaranya termasuk;

• Memberikan nasihat tentang pilihan rawatan 

• Melakukan rawatan
• Membekalkan maklumat objektif tentang rawatn
• Bertugas memaklumkan maklumat lain yang diluar bidang
perubatan mereka yang khusus

• Memberikan sokongan emosi


Apakah yang diharapkan oleh mereka daripada anda? Anda adalah seorang yang kompleks, dengan keperluan yang mempengaruhi aspek kehidupan anda. Keadaan emosi, sosial dan kesejahteraan fizikal anda bertindan-tindih. Pasukan perawat anda perlu mengetahui maklumat sebanyak mungkin tentang diri anda. Memberikan maklumat ini kepada mereka dapat meningkatkan komunikasi antara anda dengan mereka, dan dapat membantu memulihkan keadaan fizikal anda.

Diagnosis kanser payudara boleh menimbulkan banyak tekanan, terutama semasa anda ingin cuba memahami semua maklumat baru yang anda terima. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah sesuai yang boleh anda ikuti untuk mengurangkan ketegangan tersebut.

Bertanya sangat penting. Doktor dan jururawat mahukan pesakit menanyakan soalan. Interaksi ini membantu mereka mengetahui diri anda dan keperluan anda. Tidak ada soalan yang diangap salah. Anda mungkin boleh memulakannya dengan bertanya tentang rawatan anda atau komplikasi serta kesan sampingan rawatan tersebut. Beritahu pasukan perawat anda tahap maklumat yang anda inginkan.

Apabila anda bertemu dengan pakar penjagaan kesihatan anda, anda mungkin berasa gemuruh dan tidak pasti anda akan ingat semua soalan yang ingin ditanya. Pada masa seperti ini anda tidak harus bersandarkan ingatan sahaja. Membaca mana-mana bahan yang anda terima mungkin membantu anda memikirkan beberapa soalan. Anda hendaklah sentiasa membawa buku catatan untuk menulis soalan apabila ia terlintas difikiran anda dan anda hendaklah membawa buku catatan tersebut semasa temujanji.

Anda mungkin ingin membawa seseorang ahli keluarga atau rakan karib anda bersama semasa anda menjalani rawatan perubatan yang intensif dan semasa keputusan tentang rawatan dibuat. Pemahaman anda adalah terhad apabila berseorangan. Apabila anda berdua, bertanya dan mendengar penerangan, besar kemungkinan lebih banyak maklumat dapat difahami dan diingat.

Anda perlu menyedari bahawa walau banyak mana pun persediaan anda untuk menghadapinya, anda tentu akan terlupa akan sesuatu atau memikirkan lebih banyak soalan. Pada temujanji yang berikutnya, bertanyalah mana-mana soalan yang tertinggal, atau jika anda memerlukan jawapan serta-merta, hubungilah doktor. Langkah ini adalah sebahagian daripada penjagaan perubatan yang baik.

Sementara anda mengharapkan pakar kesihatan akan memberikan maklumat perubatan kepada anda, setakat manakah anda mengharapkan sokongan emosi daripada pasukan perubatan anda? Mereka mungkin tidak dapat memenuhi semua keperluan emosi anda. Walaubagaimanapun, mereka mungkin
berupaya menghubungkan anda dengan kumpulan sokongan, kaunselor atau organisasi lain yang dapat memberikan sokongan tambahan.

Untuk Wanita Bujang

Wanita yang telah menjalani pembedahan payudara mungkin tidak hanya menghadapi aspek pemulihan fizikal, tetapi juga mengalami kerisauan tentang kemampuannya untuk terus hidup, kehilangan ciri-ciri kewanitaan dan tarikan seks, perasaan tersingkir, dan mungkin juga imej tubuh yang sudah berubah. Bagi wanita yang hidup bujang, kesangsian dan kerisauan ini mungkin lebih terasa, terutamanya jika tidak ada seseorang yang dapat memberikan sokongan kepadanya.

Mastektomi bukanlah halangan untuk bermesra, bercinta dan berkahwin. Ramai wanita telah berkahwin buat pertama kalinya selepas pembedahan payudara, dan ramai balu dan janda telah berkahwin semula selepas pembedahan payudara.

Samada anda mempunyai hubungan yang kukuh atau tidak, seelok-eloknya anda hendaklah memandang berat penyakit kanser payudara anda. Rakan-rakan akan memberikan sokongan padu, sama seperti dalam keadaan lain. Gunakan kebijaksanaan anda untuk menentukan dengan siapa dan bila anda akan berkongsi pengalaman kanser payudara anda.

Keluar bersama teman lelaki adalah sesuatu yang bersifat peribadi, sama halnya seperti sebelum anda mendapat tahu diagnosis. Anda mungkin terasa berat hati untuk memulakan hubungan dalam keadaan sebegini, atau anda mungkin berasa hubungan tersebut lebih bermakna.

Berbincanglah dengan pasangan anda apabila hubungan semakin mendalam. Sebelum membuat komitmen yang kukuh, anda berdua hendaklah menerima hakikat bahawa anda kini menghidap kanser. Seseorang yang ingin menjalin hubungan dengan anda perlu menerima anda sepenuhnya dan seadanya. Hanya apabila anda dapat berterus-terang tentang perkara sedemikian, barulah anda mula membina hubungan yang  berasaskan rasa saling mempercayai antara satu sama lain.

+ Sumber artikel :Buku Panduan selepas mastektomi