hostinger free

Gigih Lawan Kanser

frank chong Rhabdomyosarcoma
Badannya tidak mengalami sebarang kesakitan yang menunjukkan dia mengalami gejala penyakit kronik tetapi sudah suratan takdir, Frank Chong, 34, yang ketika itu cuma berumur 12 tahun disahkan menghidap Rhabdomyosarcoma - sejenis kanser yang menyerang tisu dan otot di bahagian badan tertentu.

Perlu menjalani rawatan intensif selama dua tahun yang meliputi pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, Chong tabah menghadapinya walaupun ia memberi kesan terhadap pembelajaran dan penampilan dirinya. “Saya hanya menyedari terdapat bengkak yang agak pelik di pergelangan tangan kiri ketika sedang makan atau menggosok gigi ketika itu. Tentu saja saya berasa hairan sebab tanpa ada sebarang rasa sakit, tiba-tiba pergelangan tangan bengkak.

“Disebabkan hairan, saya tunjukkan tanda itu kepada ayah dan dia membuat keputusan untuk membawa saya kepada doktor keluarga dan seorang lagi doktor pakar. Mereka melakukan imbasan dan akhirnya pembedahan untuk mengeluarkan tumor sebesar guli itu yang dihantar ke Hospital Universiti Singapura untuk ujian makmal.

“Ternyata, ia sejenis kanser yang boleh membahayakan nyawa saya sekiranya ia tidak dibuang dan menjalani rawatan lanjut. Bermula dari situ saya lakukan pembedahan dan rawatan kemoterapi serta radioterapi untuk memastikan kanser hilang dan tidak merebak.

“Kesannya, rambut saya gugur, muka berjerawat dan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak bagus kerana kerap tidak hadir ke kelas serta hilang fokus ketika belajar,” katanya.

Terkejut, sedih dan takut ketika mula-mula disahkan menghidap penyakit berkenaan kerana apabila menyebut mengenai kanser sudah pasti dia juga tidak terkecuali mengingati kematian.

Bagaimanapun, akibat cepat bertindak dan berbekalkan semangat juang dan sokongan tinggi oleh ahli keluarga, Chong cekal melalui setiap liku cabaran dalam tempoh dua tahun rawatannya itu.

Malah, kini dia aktif menyertai pelbagai acara larian amal dan seumpamanya untuk membuktikan kepada orang ramai tidak kira sama ada dalam keadaan sakit mahupun tidak, jika berfikiran positif, pasti sesuatu perkara itu boleh dilalui dengan mudah.

Selain itu, dia juga melakukan perkara itu demi menyampaikan mesej mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan menyedarkan mereka mengenai bahaya penyakit kanser kepada masyarakat.

Buktinya, tahun lalu dia berjaya menamatkan larian di Maraton Comrades di Afrika Selatan dengan tempoh catatan larian 11 jam dan 53 saat.

Tahun ini sekali lagi dia akan menyertai acara sama dan berusaha menamatkan larian sepanjang 87 kilometer berkenaan.

Bagi Aida Munirah Azmi, 26, pula dia tidak menyangka benjolan kecil di bawah leher kanannya bakal mengubah kehidupannya pada ketika itu.

Disahkan menghidap kanser Adenoid Cystic Carcinoma (ACC) ketika berumur 24 tahun, wanita aktif ini berasa marah, murung dan sedih kerana sentiasa mempersoalkan mengapa penyakit berkenaan menyerang dirinya.

ACC adalah kanser yang jarang diketahui atau dihidapi dan akan menyerang beberapa bahagian tubuh terutama kawasan kepala dan leher, kelenjar air liur, payudara, paru-paru, mata dan otak.

“Pada 2010 saya disahkan menghidap ACC dan pada ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Pelbagai medium dijadikan bahan rujukan untuk mengetahui mengenai jenis penyakit saya ini sebab tidak banyak maklumat yang ditulis mengenainya.

“Memang saya tahu mengenai kanser dan bahayanya menerusi pelbagai kempen dan bahan bacaan, cuma selagi tidak terkena pada diri sendiri kita tidak akan tahu. Mungkin pemikiran sebegini yang menyebabkan masyarakat mengambil sikap acuh tak acuh.

“Sudah menjadi kebiasaan, sesiapa saja yang disahkan menghidap penyakit kanser akan berasa kehidupannya sudah berakhir. Kebanyakannya hilang semangat, putus asa untuk meneruskan hidup. Ini kerana kanser adalah penyakit yang berbahaya manakala kos rawatannya cukup mahal.

“Bagaimanapun, saya mempunyai semangat juang yang cukup tinggi apabila tidak mudah menyerah kalah tetapi melawan habis-habisan penyakit berkenaan sehingga ke penghujungnya,” jelasnya.

Kini, selepas dua tahun Aida menempuh tempoh genting dengan pembedahan, rawatan kemoterapi dan radioterapi, dia boleh aktif semula dan menjalani kehidupan seperti sedia kala bersama suami dan anak tercinta.

Seperti Chong, Aida juga menyertai pelbagai acara larian kerana itu menjadi minatnya sejak di sekolah menengah lagi dan pada bulan hadapan, dia akan menyertai maraton di Gold Coast, Australia.

Nasihat mereka berdua, kanser boleh dirawat jika dikesan dan diketahui dengan lebih awal menerusi pemeriksaan doktor. Jangan bersikap ‘biarkan saja’ apabila berasa tidak sihat atau terdapat sesuatu yang ganjil pada tubuh badan.

Lakukan langkah pertama, berani dan berfikiran positif untuk menghadapi sebarang kemungkinan namun jangan sesekali cepat berputus asa sebelum mencuba kerana kanser bukan hukuman mati kepada individu.

Sementara itu, inspirasi daripada Chong sendiri, Yayasan Inisiatif Penyelidikan Kanser (Carif), baru-baru ini melancarkan Kempen Be Frank bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya mencabar diri sendiri dalam melakukan sesuatu perkara yang dianggap di luar kemampuan diri sebelum ini.

Selain itu, ia juga dilancarkan untuk mendidik orang ramai mengenai kanser dan pengesanan awal serta mitos penyakit berkenaan yang tidak benar.

Tidak cukup dengan itu, ia turut membantu dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menyayangi serta menghargai kesihatan diri.

Ketua Pegawai Eksekutif Carif, Profesor Dr Teo Soo-Hwang berkata, kempen ini menggalakkan orang ramai mengutip derma mengikut cara tersendiri sama ada menerusi cara jualan gudang atau pakaian terpakai, mengadakan majlis makan malam amal dan seumpamanya.

“Semua sumbangan yang diperoleh melalui kempen ini akan disalurkan ke program kajian Carif untuk meningkatkan tahap pemeriksaan kanser, mencari penyelesaian terkini mengubati kanser, berhubung dengan orang ramai dan pesakit kanser dalam program komuniti serta pelbagai program lagi,” katanya.

Apa yang perlu dilakukan adalah pilih dan jelaskan idea berkenaan dengan jelas, daftar dengan kempen Be Frank Carif, tetapkan sasaran (jumlah derma) yang mahu dikumpul, pilih ahli kumpulan dan lokasi.

Apabila sudah berdaftar dengan Carif, secara automatik panduan serta perbincangan akan dilakukan untuk melaksanakan program mengutip dana yang dirancang.

Selepas itu, publisiti boleh dimulakan misalnya menerusi laman web, laman sosial dan poster.

Untuk memberi inspirasi kepada orang ramai, rakam video dan ambil gambar sebanyak mungkin lalu e-melkan ke befrank@carif.com.my. Sumbangan dana secara terus juga boleh dilakukan menerusi cek kepada Carif atau dalam talian di http://www.simplygiving.com/BeFrank.


Mitos kanser

Kanser berjangkit


Kanser tidak berjangkit dan seseorang itu tidak akan menghidap penyakit ini hanya dengan sentuhan atau berkongsi barangan peribadi.

Ia juga tidak merebak melalui udara, air, suntikan atau vektor lain. Malah, sesetengah kanser seperti kanser servik, hati atau hepatitis B dan C adalah berkaitan dengan virus.


Ada terapi alternatif

Tiada terapi atau rawatan alternatif lain bagi mengubati kanser melainkan melalui ubat-ubatan yang disahkan serta berdaftar saja.


Rawatan mengubati kanser lebih teruk daripada penyakit itu

Umum tahu rawatan kanser seperti kemoterapi dan radioterapi memberikan kesan sampingan yang kurang menyenangkan tetapi kemajuan terkini membolehkan banyak ubat-ubatan kemoterapi dan rawatan radiasi dihasilkan lebih baik berbanding dulu.


Tidak perlu risau mengenai kanser jika tiada ahli keluarga pernah menghidapinya

Hanya lima hingga 10 peratus kanser diwarisi melalui keturunan. Kebanyakan kanser disebabkan perubahan genetik yang berlaku sepanjang kehidupan seseorang. Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.


Tidak peduli

Kita tidak sepatutnya mengabaikan kanser dan tanda awal penyakit ini seperti benjolan di payudara. Walaupun kenyataan mengenai kanser menakutkan, berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan awal mampu mengubah nasib. Menerima rawatan pada peringkat awal lebih berkesan berbanding membiarkannya saja.


Kanser hukuman bunuh

Masyarakat lebih suka ambil mudah dan meletakkan penyakit itu sebagai ketentuan Tuhan. Jika dikesan awal, kanser boleh dirawat dan pesakit pulih seperti sedia kala.

+ Ditulis oleh Hamizah Badiran

2 comments:

  1. Mari lawati www.primaseries.blogspot.com untuk rawatan alternatif untuk penyakit kanser terutama kanser payudara(MCF7).

    ReplyDelete
  2. Hi...saya ade penyakit yang sama..skrg da habis kemoterapi..skrg tggu utk radioterapi pula...saya kena ambil ubat Tamoxifen iaitu terapi hormon,sya jadi keliru samada perlu ambil atau tak..sbb doktor kte ubt ni ade 2% utk dpt kanser rahim...ade pengalaman x?

    ReplyDelete