Berita: Selangor Sedia RM1 Juta Setahun Untuk Mammogram

mammogram selangor
Skim Kesihatan Wanita (SKW) menawarkan skim pemeriksaan mammogram secara percuma kepada semua wanita Negeri Selangor yang berumur 35 tahun ke atas atau wanita yang berumur kurang dari itu yang menghadapi risiko penyakit kanser yang tinggi atau keluarga yang mempunyai sejarah mengidap penyakit kanser.


“Mereka dikehendaki untuk mengisi borang-borang khas yang diedarkan di pusat-pusat khidmat dan ketua-ketua kampung,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail dalam satu kenyataan.

Katanya, wanita yang layak dibawa secara percuma dengan pengangkutan khas ke lokasi di mana mereka akan diberi penerangan mengenai kesihatan penjagaan dan prosedur pemeriksaan percuma kanser payu dara dan bagaimana kaedah pemeriksaannya boleh juga diamalkan sendiri secara manual di rumah.

Menurutnya, hasil pemeriksaan akan segera dimaklumkan kepada para wanita yang telah menjalani pemeriksaan tersebut.

Beliau yang juga Adun Batu Tiga berkata, wanita yang didiagnosis menghidap kanser akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital-hospital sama ada kerajaan atau pun swasta.

Jelasnya, kerajaan negeri telah melancarkan Skim Kesihatan Wanita di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun bertujuan membantu kaum wanita membuat pemeriksaan kanser payudara (mammogram) secara percuma; 10 ribu wanita setahun dijangka akan menikmati kemudahan ini selanjutnya.